Zakat Fitrah Suatu Kewajipan

Perintah menunaikan Zakat Fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa daripada kata-kata dan perbuatan yang tidak sepatutnya.

Tujuan Zakat Fitrah adalah untuk memberi makanan kepada golongan memerlukan bagi mencukupkan keperluan serta permintaan mereka menjelang 1 Syawal.

Sabda Rasulullah SAW daripada Ibn Umar mafhumnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa daripada kaum Muslimin.”

[HR Bukhari]

Zakat Fitrah adalah wajib bagi anak kecil, diambil daripada hartanya jika ia memiliki harta, lalu dikeluarkan oleh walinya, seperti yang tersebut dalam zakat harta. Apabila si anak kecil tidak memliki harta, maka zakat fitrahnya wajib bagi orang yang memberi nafkah kepadanya. Pendapat ini dipegang oleh sekalian ulama.

Syarat Wajib Zakat Fitrah

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  • 1- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • 2- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • 3- Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.
  • 4- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.

Waktu Menunaikan Zakat Fitrah

Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

  1. Waktu Wajib
    Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
  2. Waktu Afdal
    Sebelum sembahyang Hari Raya
  3. Waktu Sunat
    Sepanjang bulan Ramadhan
  4. Waktu Makruh
    Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
  5. Waktu Haram
    Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Kadar Zakat Fitrah

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

DI MANA ZAKAT FITRAH PERLU DIBAYAR

Zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, dengan melihat pendapat ihtiyat iaitu mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

Justeru jika ketika itu kita masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dibayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.

Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

Tunaikanlah zakat kerana ia merupakan perintah daripada Allah swt yang Maha Kaya dan Perkasa dan ia termasuk di dalam 5 rukun islam yang wajib dan perlu kita laksanakan.

DIGALAKKAN UNTUK ANDA:

  1. Infaq Ramadan Ruang Pahala Berganda
  2. Elak tambah masalah kewangan dengan masalah kesihatan
  3. Rancang kewangan lebih awal, tunai nafkah keluarga
  4. Bebas hutang, tenang dunia akhirat

Rujukan:

https://www.zakatselangor.com.my

https://www.zakat.com.my

Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.

Leave A Comment