Merdeka Kewangan atau Bebas Hutang

Merdeka dalam erti kata yang lain adalah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Tidak bergantung kepada yang lain serta boleh berdiri dengan sendirinya. Merdeka Kewangan pula membawa maksud kebebasan berhutang dan meletakkan pendapatan pasif melebihi perbelanjaan.

Merdeka Kewangan perlu kepada perancangan kewangan yang teliti dan matlamat yang jelas. Menetapkan matlamat kewangan adalah sangat penting dalam perancangan kewangan. Ini kerana anda perlu mempunyai matlamat kewangan yang perlu dicapai sebagai dorongan untuk menggalakkan anda berjaya melaksanakan pelan perancangan kewangan.

Antara kaedah menetapkan matlamat kewangan adalah dengan cara berikut:

1. TETAPKAN MATLAMAT SPESIFIK

 

Untuk menetapkan kedudukan kewangan yang kukuh, anda perlu mempunyai matlamat kewangan yang spesifik. Dengan cara ini, anda akan mendapat gambaran atau visualisasi masa depan sekaligus minda anda akan fokus untuk mencapai matlamat itu.

 

Anda perlu  bertanggungjawab, komited, berdisiplin dalam merancang kewangan anda untuk setiap peringkat hidup. Buat perancangan hidup dan kewangan dengan teliti untuk menentukan secara terperinci matlamat kewangan yang perlu diperolehi. Sebagai contoh, anda mungkin mahukan sebuah rumah sendiri apabila anda berusia 30 tahun. 

 

Dengan tetapkan matlamat spesifik, anda akan mendapat gambaran atau visualisasi masa depan sekaligus minda anda akan fokus untuk mencapai matlamat itu.

 
 

2. UKUR

 

Matlamat kewangan mesti boleh diukur. Apabila anda sudah menetapkan matlamat spesifik seperti mahukan rumah sendiri, anda perlu mempunyai kayu pengukur untuk memantau kemajuan anda dalam mencapai matlamat itu.

 
 

Contohnya, anda mungkin mahu mengumpul 10 peratus daripada harga rumah idaman anda untuk bayaran muka depan dan kayu pengukur anda dalam hal ini adalah supaya jumlah tersebut terdapat dalam akaun bank anda.

 
 

3. MEMAHAMI KEMAMPUAN DIRI

 

Matlamat kewangan anda mesti boleh dicapai selagi ianya berada dalam kemampuan. Selain mempunyai idea jelas mengenai perancangan kewangan kukuh, anda harus sedar mengenai kedudukan kewangan anda pada setiap masa.

 

Ini boleh dilakukan dengan memeriksa secara berterusan setiap komponen kedudukan anda seperti pinjaman yang perlu dibayar, dana perlindungan kesihatan dan musibah yang tersedia, baki kad kredit serta pendapatan dan perbelanjaan bulanan. Ketahui nilai bersih anda dengan mengetahui apa aset dan liabiliti yang anda miliki. Ini boleh membantu anda membuat keputusan pelaburan yang bijak.

 
 

4. FAKTOR MASA

 

Firman ALLAH s.w.t dalam surah Al Asr (1-3) :

 

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.

 

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.

 

Masa memainkan peranan penting dalam setiap pelaburan dan juga matlamat kewangan anda. Jadi anda perlu memahami konsep masa dan tempoh matang dalam setiap langkah anda mencartakan perjalanan kewangan untuk kehidupan yang selesa.

Rancang kewangan sebaiknya dan kecapi kemerdekaan dalam pengurusan kewangan.

Merancang hal kewangan seharusnya perkara yang dititikberatkan agar anda tidak terlepas pandang dalam hal ini. Luangkan masa untuk duduk dan berbincang dengan pasangan atau luangkan masa untuk diri sendiri bagi memahami kehendak dan cita-cita anda dalam hidup. Dengan perancangan yang baik, anda boleh membina kehidupan yang selesa di masa hadapan.

 

Rujukan:

https://ms.wiktionary.org/wiki/merdeka

 

https://jomurusduit.com/2016/03/10-matlamat-kewangan-yang-ramai-ingin.html

 

https://celikhartanah.com/4-jenis-matlamat-kewangan/

 

https://www.aia.com.my/ms/what-matters/finance/matlamat-kewangan-harus-dibina.html

 

http://bijakuruswang.blogspot.com/2008/01/bagaimana-membuat-matlamat-kewangan.html

 

http://www.majalahniaga.com/7-matlamat-kewangan-pada-tahun-baru-yang-perlu-ada-dalam-setiap-individu.html

 

Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.

Leave A Comment