Memburu Lailatul Qadar

Firman Allah SWT:

(۲)إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿۱﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ 

 لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

(Surah al-Qadr: 1-3)


Lailatulqadar padanya dua kalimah:

Lailah yang memberi erti apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Kelebihan Malam Qadar

Para ulama berpendapat, amalan terbaik soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Antara kelebihan malam ini ialah:

  • Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan.”
  • Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Disokong juga oleh Abu al-‘Aliyah.
  • Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
  • Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
  • Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Tafsir al-Qurtubi 20/133.

Firman Allah SWT:

تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ﴿٤﴾ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

 Maksudnya: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin  TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.”

(Surah al-Qadr: 4-5)

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya).”

[Riwayat Muslim]

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain.”

 [Riwayat Ahmad]

Berdasarkan perincian ini, jelaslah menunjukkan betapa mulia dan hebatnya malam qadar sehingga melebihi malam 1000 bulan. Oleh itu, amat perlu bagi kita melakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Penuhilah kehidupan kita dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Marilah sama-sama kita memohon keampunan dan kerahmatan daripada Allah yang Maha Pengampun.

DIGALAKKAN UNTUK ANDA:

  1. Infaq Ramadan Ruang Pahala Berganda
  2. Zakat Fitrah Suatu Kewajipan
  3. Persediaan Menghadapi Ramadan Al Mubarak

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my

Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini

Leave A Comment