Maqasid Syariah (Al-Daruriyat) Penjagaan Harta Benda

  • Utama
  • Takaful
  • Maqasid Syariah (Al-Daruriyat) Penjagaan Harta Benda

Umumnya maqasid syariah seperti yang dijelaskan ulama usul fiqh adalah merupakan makna dan tujuan yang dikehendaki syara’ dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan umat manusia.

Syeikh ‘Allal al-Fasi Rahimahullah mentakrifkan maqasid syariah sebagai:

الغاية منها (أي الشريعة)، والأسرار التي وضعها الشارع عند كل حكم من أحكامه

Maksudnya: “Tujuan-tujuan syariat serta rahsia-rahsianya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap hukum daripada hukum-hakam-Nya”. Rujuk Maqasid al-Syari’ah wa Makarimuha(hlm. 7)

Syeikh Muhammad Thahir ibn ‘Asyur Rahimahullah telah mendefinisikan maqasid syariah sebagai:

المعَانِي وَالحِكَمُ الْمَلْحُوظَةُ لِلشَّارِعِ فِي جَمِيْعِ أَحْوَالِ التَّشْرِيْعِ أَوْ مُعْظَمِهَا، بِحَيْثُ لَا تَخْتَصُّ مُلَاحَظَتُهَا بِالْكَوْنِ فِي نَوْعٍ خَاصٍّ مِنْ أَحْكَامِ الشَّرِيْعَةِ

Maksudnya: “Makna-makna dan hikmah-hikmah yang diambil perhatian oleh syarak dalam keseluruhan atau sebahagian besar daripada situasi penurunan syariat yang tidak mengkhususkan kepada mana-mana hukum syarak yang tertentu”. Rujuk Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah (hlm. 55)

Syeikh ‘Allal al-Fasi Rahimahullah pula mentakrifkan maqasid syariah sebagai:

الغاية منها (أي الشريعة)، والأسرار التي وضعها الشارع عند كل حكم من أحكامه

Maksudnya: “Tujuan-tujuan syariat serta rahsia-rahsianya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap hukum daripada hukum-hakamNya”. Rujuk Maqasid al-Syari’ah wa Makarimuha(hlm. 7)

Dapat disimpulkan daripada ta’rif maqasid syariah berdasarkan ketiga-tiga definisi diatas secara umumnya sebagai :

Kepentingan yang tersendiri dalam mengukur dan mempertimbangkan sesuatu perkara dalam menjamin maslahah dan menolak keburukan. Pertimbangan ini semestinya berlandaskan nilai al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas bagi memastikan ianya berada dalam kerangka syariat itu sendiri.

Pembahagian Maqasid Syariah dari sudut kepentingannya kepada maslahah manusia terbahagi kepada tiga, iaitu:

  1. Al-Daruriyat
  2. Al-Hajiyat
  3. Al-Tahsiniyat

 

Al-Daruriyat

Daruriyat adalah perkara yang mana kehidupan manusia memerlukannya dan bergantung kepadanya. Jika sekiranya perkara tersebut tiada, manusia dalam keadaan sukar untuk menjalani kehidupan di dunia mahupun akhirat.

Al-daruriyat terbahagi kepada lima asas utama (al-dharuriyyat al-khamsah) :

  • Memelihara agama
  • Memelihara nyawa
  • Memelihara akal
  • Memelihara keturunan
  • Memelihara harta benda

Para alim telah mengadakan ketetapan, wujudnya tertib antara lima jenis keutamaan, iaitu kepentingan agama berada pada kedudukan tertinggi dan lebih utama daripada kepentingan nyawa, sementara kepentingan nyawa mestilah diutamakan daripada kepentingan akal, kepentingan akal mestilah diutamakan daripada kepentingan keturunan dan kepentingan keturunan pula diutamakan daripada kepentingan harta.

Memelihara Harta

Pemeliharaan harta adalah salah satu prinsip asas yang digariskan dalam kategori daruriyat. Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran dan al-Hadis yang menggalakkan perolehan harta begitu juga berkenaan penjagaan harta dan kekayaan dalam syariah.

            Harta merupakan suatu yang amat diperlukan oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan. Dalam islam, harta perlu dipelihara dan dijaga supaya tidak didatangi daripada sumber yang haram. Perlu dilaburkan supaya berlaku pertambahan dan percambahan, tidak boleh dibazirkan begitu sahaja.

            Objektif pemeliharaan harta berkait rapat dengan pemeliharaan agama dan agama telah menetapkan kaedah berurusan dengan harta termasuk bagi perolehan dan perbelanjaan.

Firman Allah SWT:

عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَىٰ  وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya)”. (Surah Muzammil, ayat 20)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, (Surah al-Nisa’ 29)

Daripada ayat ini, mengajar kita bahawa mencari rezeki juga adalah ibadat dan penting bagi kita memastikan harta tersebut daripada rezeki yang halal melalui pelbagai cara yang diharuskan oleh syara’.

Amat perlu kita memahami maqasid syariah supaya tidak berlaku kesalahan dalam mendahulukan maqasid dan begitulah sebaliknya, secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada berlaku kesilapan dalam menentukan hukum, apabila menjadikan maqasid syariah sebagai sumber rujukan utama.

Rujukan:

www.mais.gov.my

muftiwp.gov.my
Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.

Leave A Comment