Konsep Tolong-menolong Dalam Islam

Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Berdasarkan ayat di atas, sudah pasti kita tidak akan mampu bergerak sendiri dan saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Konsep tolong-menolong perlu wujud dalam menghasilkan kehidupan yang boleh memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara bahkan lebih penting keperluan agama.

Ironinya masing-masing harus berlapang dada, dan perlu meletakkan maslahah ummah lebih utama dan lebih penting berbanding maslahah peribadi dalam membina suatu kesatuan yang kukuh dan sejahtera.

Penghayatan terhadap akidah Islam perlu selari sebagai wadah tolong-menolong kepada usaha mengukuhkan peranan ummah dalam masyarakat melalui persepakatan bersama. Umat Islam pada hakikatnya telah pun bersatu dalam satu akidah sebenar.  Kita sama-sama percaya dan mengamalkan rukun Islam dan rukun iman.

Kita juga melafazkan dua kalimah shahadah dengan lafaz yang sama, di samping melaksanakan ibadah solat, zakat, puasa, dan juga ibadah haji yang sama. Persamaan ini dapat mengenepikan segala perbezaan yang timbul dan bersama berganding bahu meringankan beban masyarakat yang berada dalam kesusahan.

Rasulullah saw menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, mafhumnya:

“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Semakin banyak kita memberi, semakin banyak kita perolehi

Konsep tolong-menolong (ta’awun) juga wujud dalam takaful, iaitu suatu permuafakatan sekumpulan individu untuk saling menjamin dan saling membantu antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan tertentu yang dipersetujui dalam kalangan mereka seperti pemberian pampasan bagi sesuatu musibah yang menimpa serta keperluan kewangan yang lain.

Kita tidak akan mampu mengumpul dana begitu besar untuk membayar segala kos jika ditimpa musibah seperti sakit kritikal, atau pembayaran hutang arwah atau lain-lain hal yang memakan belanja yang besar. Oleh itu perkongsian sumbangan (tabarru’) dalam takaful ini mampu meringankan beban peserta yang memerlukan.

Majlis Penasihat Syariah pada mesyuarat ke-24 bertarikh 24 April 2002 telah memutuskan bahawa model perniagaan takaful yang berasaskan sumbangan (tabarru`) dan perwakilan (wakalah) adalah dibenarkan. Kontrak wakalah berlaku antara peserta dengan syarikat takaful, manakala kontrak tabarru` berlaku sesama peserta sahaja. Rujukan Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam Edisi Kedua (halaman. 63) oleh Bank Negara.

DIGALAKKAN UNTUK KITA,

Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis mafhumnya:

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Semoga permuafakatan yang dibina memberi pengukuhan sejajar dalam membina ummah sejahtera dunia dan akhirat seperti peribahasa melayu “muafakat membawa berkat”.

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my

https://www.hmetro.com.my

http://www.ikim.gov.my

Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.

Leave A Comment