Hak dan Tanggungjawab Waris Setelah Kematian

Kematian merupakan suatu kepastian untuk setiap yang bernyawa. ALLAH swt telah menyatakannya di dalam al-Quran secara terang bahawa kematian itu pasti akan datang dan ia tidak cepat dan lambat walau sesaat pun.

Firman ALLAH swt :

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.

(Surah Al-A’raf: 34)

ALLAH swt menjadikan kehidupan dan kematian bertujuan untuk menguji kita dan melihat siapakah dalam kalangan kita yang paling baik amalannya, sesuai dengan firman ALLAH swt di dalam al-Quran:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

(Surah al-Mulk: 2)

Dewasa ini kita melihat rata-rata waris ada yang menyalahgunakan amanah yang diberikan termasuk dalam menguruskan harta pusaka si mati. Ketahuilah bahawa ada amanah yang wajib diselesaikan bagi si mati sebelum daripada mereka menuntut apa-apa harta peninggalan daripadanya.

Jika dilihat daripada susunan tanggungjawab atau hak, hak untuk waris berada pada kedudukan paling terkemudian. Maknanya, mereka tidak boleh ambil apa-apa daripada harta peninggalan si mati sebelum hak-hak lain diselesaikan terlebih dahulu.

Berikut adalah susunan hak ke atas barangan dan harta pusaka si mati :

1. Hak-hak barangan (الحقوق العينية)

Hak-hak yang berkaitan dengan sesuatu barang daripada barangan perninggalan si mati sebelum berlakunya kematian. Contohnya jika seseorang membeli sesuatu barangan daripada seorang penjual kemudian meninggal dunia sebelum sempat menjelaskan bayaran barangan yang telah dibeli, maka penjual adalah orang yang paling berhak mendapat kembali barangan yang telah dibeli oleh si mati.

Demikian juga berkaitan dengan barangan yang telah digadaikan si mati dan masih berada di tangan pemegang gadai. Pemegang gadaian adalah merupakan orang yang paling berhak untuk mendapatkan barangan gadaian tersebut seandainya si mati tidak meninggalkan harta selain daripada barangan gadaian tersebut.

Hak-hak yang berkaitan dengan barangan ini, merupakan hak yang perlu didahulukan sebelum dilaksanakan hak-hak lain daripadanya samada berkaitan dengan hak perbelanjaan pengurusan dalam mempersiapkan pengebumian janazah dan lain-lain.

Ini merupakan pendapat yang disepakati oleh al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Shafi’iyyah (Badran Abu al-‘Ainain Badran, al-Mawarith  wa al-Wasiyyah wa al-Hibah fi al-Syariat al-Islamiyyah wa al-Qanun, Muassasah Shabab al-Jami’ah, Iskandariah, 1985, hlm 12-13. dan Masu’ah al-Fiqh al-Islami al-Shahirah bi Mausu’ah Jamal ‘Abd. al-Nasir al-Fikhiyyah, al-Majlis al-‘A’la li al-Shu’un al-Islami, Misr, t.Th, jilid 4, hlm 295)

2. Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan janazah

Perbelanjaan yang diperlukan bagi menampung segala kos pengurusan janazah bermula daripada waktu kematian sehingga bersemadi janazah di dalam kubur mengikut apa yang selayaknya. Hak-hak yang diambil kira di dalam mempersiapkan urusan pengebumian si mati temasuklah kos-kos yang dibelanjakan untuk tujuan (mandi, kafan, gali kubur dan membawa jenazah keperkuburan serta kebumi).

Kadar perbelanjaan yang diperlukan adalah mengikut kedudukan si mati, sama ada dia seorang  lelaki atau perempuan, susah atau senang, miskin atau kaya. Segala keperluan ini hendaklah dibelanjakan dengan penuh berhemah tanpa berlebih-lebihan dan terlalu cermat.

Kesemua perbelanjaan yang berkaitan pengebumian dan pengurusan janazah hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati sekiranya ia mempuyai harta. Demikian juga pengurusan dan perbelanjaan pengebumian kaum kerabat yang berada di bawah tanggungan si mati (seperti anaknya yang masih kecil dan kedua ibu bapa yang miskin), sekiranya mereka meninggal dunia sebelum kematian si mati walaupun seketika.

Namun demikian, seandainya si mati tidak meninggalkan sebarang harta, maka segala kos perbelanjaan dan pengurusan jenazah si mati hendaklah ditanggung oleh kaum kerabatnya. Jika sekiranya si mati tidak mempunyai kaum kerabat atau mempunyai kaum kerabat yang tidak mampu menampung kos pengurusan dan perbelanjaan pengebumian si mati disebabkan kemiskinan atau seumpamanya, maka kos penyelenggaraan pengurusan tersebut hendaklah diambil daripada harta baitulmal.

Sekiranya baitulmal tidak mempunyai wang yang memadai atau baitulmal itu tidak wujud di tempat si mati, maka kewajipan menguruskan pengebumian janazah tertanggung ke atas orang-orang kaya dikalangan umat Islam kerana menguruskan pengebumian jenazah merupakan fardu kifayah ke atas mereka yang berkemampuan.

Para fuqaha telah beselisih pendapat mengenai masalah mempersiapkan pengebumian janazah seorang isteri. Apakah perbelanjaan pengurusan pengebumian seorang isteri perlu ditanggung oleh suami sekiranya isteri meninggal dunia sewaktu suami masih hidup atau daripada harta peninggalan suami sekiranya si suami telah meninggal dunia, sedangkan jenazah si isteri yang meninggal sebelumnya masih belum lagi disemadikan?

Menurut Pendapat al-Shafi’iyyah dan Abi Yusuf daripada kalangan al-Hanafiyyah, kos pengurusan dan pengebumian janazah isteri perlu diambil daripada harta suami sekiranya suami masih hidup dan diambil daripada harta peninggalan suami sekiranya si suami telah meninggal dunia, tanpa mengambil kira status sosial seorang isteri, samada seorang yang kaya atau miskin.

Pendapat ini perpandukan kepada qias terhadap nafkah seorang isteri. Nafkah isteri merupakan kewajipan suami seketika suami masih hidup, begitu juga nafkah pengurusan dan pengebumian apabila si isteri meninggal dunia.

Demikian itu adalah kerana disebabkan hubungan antara suami isteri masih berterusan pada keseluruhannya walaupun setelah berlaku kematian si isteri, di antara hubungan tersebut ialah berlaku pewarisan di antara satu sama lain (suami isteri) dan diharuskan bagi suami memandikan si isteri di sisi fuqaha’ al-Shafi’iyyah (Ahmad Faraj Husin, Nizom al-Irsh Fi al-Tashri’ al-Islami, Dar al-Jamiah al-Jadidah Lil Nashri, 2003, hlm 36).

3. Melangsaikan hutang

Melangsaikan hutang-piutang si mati merupakan kewajipan yang kedua berkaitan dengan harta perninggalan setelah dikeluarkan kos yang diperlukan bagi mempersiapkan pengebumian janazah. Setelah kos yang berkaitan pengurusan janazah diselesaikan, maka hendaklah dilunaskan segala hutang piutang yang ditinggalkan si mati daripada harta perninggalannya sekiranya dia ada meninggalkan hutang-piutang yang perlu dilunaskan.

Harta pusaka perninggalan si mati tidak boleh diagihkan kepada orang yang telah diwasiatkan dan para waris, melainkan setelah segala hutang-piutang yang ditanggung oleh si mati telah selesai dilunaskan. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t :

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya.

(Surah al-Nisa’ 11)  

Ayat ini menunjukkan bahawa hutang perlu dijelaskan dan dilangsaikan sebelum diagihkan harta pusaka kepada para waris. Namun demikian jika dilihat kepada zahir ayat di atas, menunaikan wasiat merupakan perkara yang perlu didahulukan daripada perlunasan hutang-piutang si mati.

Namun demikian, perlaksanaan berlaku sebaliknya iaitu melunaskan hutang merupakan perkara yang didahulukan dari melaksanakan wasiat. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Saidina Ali  bin Abi Talib :

انكم تقرأون الوصية قبل الدين وقد شهدت رسول الله صلى الله عليه وسلم بدأ بالدين قبل الوصية

Maksudnya:
Kalian semua membaca bahawa wasiat sebelum hutang, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah saw telah memulakan dengan melunaskan hutang sebelum wasiat. (Ahmad al-Husori, al- Tarikah Wa al-Wasoya Wa al-Qodoya al-Muta’alik Bihima Fi al-Fiqh al-Islami al-Muqaran, Dar al-Jil Bairu, 1992,  hlm 31)

Hikmah ALLAH swt menyebut wasiat sebelum hutang di dalam ayat al-mawarith (Surah al-Nisa’ 11) supaya menjadi peringatan kepada manusia tentang kewajipan melaksanakan wasiat untuk si mati. Manusia kebiasaannya mengambil mudah, kedekut dan lalai didalam melaksanakan kewajipan-kewajipan yang berkaitan dengan harta.

Manakala hikmah didahulukan  perlunasan hutang daripada perlaksanaan wasiat adalah kerana hutang tetap menjadi beban kepada orang yang berhutang sama ada semasa hidup atau sesudah ia meninggal dunia. Orang yang berhutang masih lagi dituntut oleh pemberi hutang dan apabila dia meninggal dunia maka menjadi tanggungjawab waris untuk menjelaskan hutang tersebut.

Manakala wasiat merupakan amal kebajikan semata-mata yang tidak berkaitan dengan pihak yang ketiga (Mohd Zamro Muda dan Mohd Ridzuan Awang, Undang-Undang Pusaka Islam Pelaksanaan Di Malaysia,  Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM, 2006 hlm 31.).

DIGALAKKAN UNTUK ANDA

Jenis-jenis hutang 

Hutang-hutang yang ditinggalkan oleh si mati terbahagi kepada kepada dua jenis iaitu samada hutang Allah s.w.t seperti zakat, kaffarah, nazar, tunaikan haji dan lain-lain atau hutang sesama manusia.

Menurut jumhur fuqaha’, hutang ALLAH swt wajib dilangsaikan dan ianya termasuk dalam perkara yang perlu dilunaskan dengan menggunakan harta perninggalan si mati tanpa mengira si mati meninggalkan wasiat agar dilunaskan ataupun tidak.

Hak ALLAH swt hendaklah dilunaskan terlebih dahulu daripada al-wasiah dan al-mawarith. Sekiranya si mati ada mewasiatkan agar hutang ALLAH swt dilunaskan, maka wasiat tersebut tidak terhad kepada 1/3 daripada harta perninggalan si mati kerana wasiat agar dilunaskan hutang ALLAH swt adalah seumpama wasiat agar dilunaskan hutang-piutang yang telah sabit sesama manusia.

4. Melaksanakan wasiat 

Wasiat merupakan hak yang ketiga berkaitan dengan harta perninggalan si mati. Wasiat perlu dilaksanakan setelah diselesaikan kesemua hak yang berkaitan dengan mempersiapkan pengkebumian janazah dan setelah dilangsaikan segala hutang piutang si mati. Wasiat juga hendaklah didahulukan perlaksanaannya sebelum diagihkan harta perninggalan si mati kepada ahli waris.

Wasiat yang telah ditinggalkan oleh si mati hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan 1/3 daripada keseluruhan harta peninggalan si mati setelah ditolak kos pengurusan pengkebumian jenazah dan setelah dilunaskan kesemua hutang piutang si mati. Sekiranya wasiat si mati dalam lingkungan 1/3 maka ia hendaklah dilaksanakan tanpa berhajat kepada izin dan persetujuan ahli waris.

Sekiranya wasiat yang ditinggalkan si mati adalah melebihi daripada 1/3 harta yang ditinggalkan (iaitu 1/3 dari baki harta peninggalan si mati setelah ditolak kos pengurusan pengkebumian jenazah dan setelah dilunaskan kesemua hutang piutang si mati), maka wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan setakat lingkungan 1/3, manakala yang selebihnya berhajat kepada izin dan persetujuan ahli waris lain.

Sekiranya mereka bersetuju dan mengizinkan maka wasiat itu dapat dilaksanakan sepenuhnya dan sekiranya mereka tidak bersetuju maka wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan setakat 1/3 sahaja.

Sekiranya setengah daripada ahli waris bersetuju (dengan meraikan syarat yang perlu dipenuhi bagi ahli waris yang bersetuju iaitu persetujuan hendaklah setelah berlaku kematian pewasiat, waris merupakan seorang yang boleh membuat al-tabarru’ dan waris merupakan seorang yang  mengetahui berkaitan dengan wasiat untuk dilaksanakan wasiat bagi melebihi 1/3,

Sedangkan setengah yang lain tidak bersetuju, maka wasiat tersebut hendaklah dilaksanakan ke atas ahli waris yang bersetuju setakat mana kadar bahagiannya sahaja, kerana setiap dari mereka mempunyai kuasa untuk mengizinkan dan menolak di dalam kadar bahagian masing-masing.

Apabila setengah daripada waris mengizinkan atau bersetuju dengan wasiat yang melebih daripada 1/3 , sedangkan setengah yang lain menolak, maka timbul satu persoalan bagaimana hendah diketahui kadar bagi wasiat tersebut? Cara  tersebut adalah dengan membahagikan harta peninggalan (pusaka) kepada dua bahagian :

  1. Pembahagian dengan tanggapan semua waris bersetuju.
  2. Membuat pembahagian dengan tanggapan mereka semua tidak bersetuju, setelah itu maka mereka yang bersetuju hendaklah mengambil bahagian mereka mengikut bahagian pertama manakala yang tidak bersetuju hendaklah mengambil bahagian mereka dari pembahagian yang kedua (Ahmad Faraj Husin, Nizom al-Irth Fi al-Tashric al-Islami, 2003, hlm 51).

5. Mengagihkan harta pusaka kepada para waris. 

Mengagihkan harta pusaka kepada ahli waris merupakan hak yang keempat daripada harta perninggalan si mati. Pengagihan ini hendaklah dilakukan seandainya terdapat saki-baki harta pusaka si mati setelah dilangsaikan segala kos yang berkaitan dengan pengurusan pengebumian, hutang piutang dan sebarang wasiat yang ditinggalkan oleh si mati.

Harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati hendaklah diagihkan kepada para waris mengikut apa yang telah dinyatakan oleh ALLAH swt di dalam al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ menurut turutan kedudukan mereka.

Para waris yang berhak menerima harta pusaka tidak kesemuanya berada dalam satu golongan dan martabat yang sama. Mereka mempunyai ciri-ciri dan martabat kedudukan yang berbeza di antara satu sama lain.

Rasulullah saw telah mengingatkan kita agar tidak mengambil harta orang lain secara salah. Rasulullah saw mengingatkan bahawa sebenarnya apa yang diperoleh itu adalah satu cebisan api neraka sebagaimana sabda baginda Nabi yang mulia, mafhumnya:

“Barangsiapa yang aku berikan kepadanya sedikit hak saudaranya kerana ucapannya maka sesungguhnya aku memberikan secebis api neraka kepadanya. Maka janganlah ia ambil.” (HR Bukhari)

Orang tamak akan rugi samada rugi dunia mahupun akhirat

Akhir kata, rujuklah pihak yang ada kepakaran dalam pembahagian harta pusaka dan ikutlah saluran yang betul agar tiada hak yang dinafikan dan tiada hak orang lain yang diambil secara salah. Satu perkara yang ahli waris wajib tahu ialah sebelum mereka boleh menuntut hak ke atas harta peninggalan si mati, ada hak-hak lain yang wajib dipenuhi terlebih dahulu.

Rujukan:

http://e-muamalat.islam.gov.my

Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.

Leave A Comment