Apakah Muslim Tidak Boleh Berharta?

Sebagai seorang yang beragama islam, kita perlu terus berusaha menjadi hartawan berjaya dunia dan akhirat. Jika dilihat, umat Islam masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi dan kewangan, sekali gus mesti berusaha melahirkan lebih ramai hartawan muslim yang mampu membelanjakan harta untuk kepentingan umat Islam seperti pembinaan masjid, pengurusan sekolah, anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal atau penganjuran aktiviti yang bermanfaat untuk masyarakat dan negara.

Menjadi hartawan, bukan bertujuan mendabik dada atau menyombong diri sehingga lupa daratan, akan tetapi banyak keperluan hidup di dunia mahupun di akhirat memerlukan Muslim menjadi berharta, termasuk dapat meninggikan martabat agama itu sendiri serta menghindarkannya daripada fitnah.

Dalam keghairahan memburu harta di dunia, satu aspek yang penting untuk kita sedari ialah setiap harta yang diperoleh dan dibelanjakan akan di soal serta dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Betulkan niat menjadi kaya raya bertujuan untuk membantu meninggikan martabat agama islam dan membantu saudara seagama.

Sabda Nabi SAW:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ

Maksudnya: “Sentiasalah dua kaki hamba pada hari kiamat berada di situ sehingga ditanya tentang umurnya, bagaimana digunakannya, ilmu apa yang dilakukannya, harta dari mana diperolehinya dan ke mana diinfakkannya dan tubuhnya dengan apa dilakukannya.”

Riwayat al-Tirmidzi (2417). Hadis hasan sahih.

DIGALAKKAN UNTUK ANDA

 

 

Tidak Perlu Menjadi Kaya Raya Untuk Memberi, Tetapi Memberi Sampai Menjadi Kaya Raya

Amat rugi individu yang dianugerah Allah SWT  untuk mempunyai harta yang banyak, tetapi lupa pelaburan akhirat yang telah ditetapkan Allah SWT dan berdasarkan sunnah Rasulullah SAW yang mulia. Tidak semua harta itu adalah hak kita kerana Allah SWT memberikan amanah dalam bentuk harta kekayaan. Oleh itu, janganlah terlalu leka dan lalai dengan kekayaan sehingga lupa membelanjakan harta untuk bekalan di hari akhirat.

Firman Allah SWT :

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya:  “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang yang soleh.” (Surah al-Munafikun, ayat 10)

Derma dan Wakaf

Hartawan Muslim dapat membantu komuniti dengan lebih meluas melalui kaedah pembayaran zakat dan perlu memperbanyakkan derma dan wakaf agar manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang memerlukan(mereka yang tidak layak menerima zakat). Malahan ruang untuk melakukannya cukup luas sehingga merangkumi pelbagai keperluan kehidupan manusia, begitu juga dengan cara tabarru’ (derma) dalam takaful itu sendiri.

Contohilah sahabat Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman bin Auf RA yang kaya-raya dan banyak bersedekah di jalan Allah. Imam Al-Zuhri menyebut, beliau membiayai 500 ekor kuda dan 500 ekor unta untuk berjuang di jalan ALLAH. Imam Al-Zahabi di dalam kitab “Siyar A’laam al-Nubalak” menukilkan daripada Tolhah bin Abdullah bin ‘Auf berkata:

“Penduduk Madinah adalah tanggungan Abdul Rahman bin ‘Auf. 1/3 daripada mereka diberikan pinjaman, 1/3 daripada mereka dibayar hutang dan 1/3 daripada mereka disambung hubungan dengan pemberian”.

Sudah tentu hartawan Muslim perlu tetap berwaspada kerana seseorang kaya di dunia belum tentu kaya di akhirat. Apatah lagi jika gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap harta kekayaannya. Justeru, sentiasa berhati-hati dengan kekayaan yang dimiliki dan bersyukur atas segala pemberian Ilahi.

Artikel di atas adalah untuk memberi maklumat sahaja. Pihak kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerugian yang mungkin berbangkit akibat penggunaan maklumat yang terkandung dalam artikel ini.

 

 

Leave A Comment